
FAHAMI MASALAH LOKALITI, RAIS TUMPU KEPERLUAN PENDUDUK SUNGAI UDANG
SERI NEGERI 15 November – Gerak kerja sejak menjadi penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada penggal lalu memberi ruang kepada Datuk Rais Yasin memahami masalah lokaliti yang dihadapi penduduk, daripada bekalan air hingga kerosakan jalan serta aduan pencemaran.
Apbila diberi mandat sebagai sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan, Rais mahu pengetahuan mengenai keadaan setempat itu menjadi asas untuk meneliti langkah penyelesaian bersama pihak berkaitan.
Beliau berkata, penglibatannya di Sungai Udang bermula selepas dilantik sebagai penyelaras DUN oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
“Sebab kita berada di situ, jadi kita tahu tempat itu. Contohnya, ada satu taman namanya Taman Peruna yang mana taman itu memang mempunyai masalah air yang boleh dikatakan kritikal, beberapa lorong yang mempunyai kepadatan rumah.
“Tapi itulah saya katakan tadi, kajian kita akan lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Rais berkata, penduduk turut mempersoalkan kemungkinan kaitan penggunaan air oleh kemudahan penapisan minyak PETRONAS berhampiran dengan masalah tekanan air di taman tersebut, namun punca sebenar masih memerlukan penelitian.
Sehubungan itu, beliau mahu mengadakan perbincangan dengan PETRONAS bagi meneliti aduan berkenaan serta ruang kerjasama untuk membantu penduduk setempat.
“Jadi kita akan bekerjasama juga dengan PETRONAS, kita bincang. PETRONAS merupakan antara penyumbang ekonomi terbesar di Malaysia.
“Jadi bolehlah mereka juga membantu kepada rakyat di DUN Sungai Udang, terutama jiran sebelah sahaja,” katanya.
Selain bekalan air, beliau berkata, aduan kerosakan jalan, pencemaran dan bau turut memerlukan perhatian seiring pembangunan pesat serta pertambahan kawasan perumahan di Sungai Udang.
“Sungai Udang adalah satu kawasan yang sedang pesat membangun. Ada PETRONAS di situ puluhan tahun, juga ada penjara di situ, taman-taman banyak baharu dibuat, jadi kita kena selesaikan isu-isu pencemaran, bau dan sebagainya.
“Saya mempunyai keyakinan, insya-Allah, kita akan laksanakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


