LANTIKAN EXCO BAHARU: ‘DEKATNYA TIDAK SEJENGKAL, JAUHNYA TIDAK SEDEPA’ – AB RAUF

Masa Membaca:58 Saat

SERI NEGERI 15 November – Pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dijangka diumumkan dalam masa terdekat, dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh memberi bayangan proses berkenaan sedang dalam pertimbangannya.

Ab Rauf berkata, keputusan mengenai pelantikan itu akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.

“Dia (lantikan Exco) dekatnya tidak sejengkal, jauhnya tidak sedepa,” katanya berseloroh ketika ditanya pemberita sama ada pelantikan Exco sudah hampir dimuktamadkan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung keperluan meletakkan wakil Perikatan Nasional (PN) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, Ab Rauf berkata perkara itu di bawah pertimbangannya.

“Itu bergantung kepada pertimbangan saya. Pastinya setiap kemenangan itu akan membuahkan hasil. Jadi hasilnya akan dituai bila buah pokoknya berbuah. Insya-Allah,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, gabungan BN-PN memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

224
Kongsi :
Previous post AB RAUF INGATKAN WAKIL RAKYAT, JAWATAN BUKAN KEISTIMEWAAN