
AB RAUF ANGKAT SUMPAH KETUA MENTERI MELAKA
AYER KEROH 15 November – Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 bagi penggal kedua, sekali gus meneruskan kepimpinan Kerajaan Negeri selepas memperoleh mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Ab Rahman di Dewan Seri Utama Pejabat TYT Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada PRN Melaka Ke-16.
Kemenangan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN membolehkan Kerajaan Negeri dibentuk dengan majoriti lebih dua pertiga.
Ab Rauf, 65, yang dilahirkan di Masjid Tanah pada 20 September 1961, mula menceburi arena politik menerusi UMNO dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam parti termasuk Setiausaha Kerja UMNO Malaysia serta Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.
Beliau turut pernah dilantik sebagai Speaker DUN Melaka pada 2020 sebelum memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara pada PRN Melaka Ke-15, November 2021.
Selepas kemenangan itu, beliau dilantik sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap portfolio Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pada 31 Mac 2023, Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 menggantikan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang melepaskan jawatan berkenaan.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sebelum melanjutkan pengajian di Institut Kemahiran MARA (IKM), Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Ab Rauf mendirikan rumah tangga bersama Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Turut hadir pada istiadat tersebut ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi MCA Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan dan kenamaan lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

