
PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN AKAN BENTUK KERAJAAN STABIL, KUKUH, BERWIBAWA
AYER KEROH 14 November – Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan terus diperkukuh bagi memastikan pembentukan sebuah Kerajaan Negeri Melaka yang stabil, kukuh dan berwibawa.
Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 memperlihatkan persefahaman politik yang dibina bersama semakin diterima rakyat.
Beliau berkata, semangat kebersamaan antara kedua-dua gabungan sepanjang pilihan raya berkenaan perlu diteruskan dalam usaha membentuk pentadbiran negeri yang mampu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Kami amat bersyukur bahawa Pilihan Raya Negeri Melaka kali ini sekali lagi memperlihatkan persefahaman politik yang dibina dan kemantapan serta keikhlasan semakin subur serta diterima oleh rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di BN Command Centre, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta beberapa kenamaan lain.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja perlu diperkukuh dalam menghadapi pilihan raya, malah menjadi asas kepada usaha membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil.
“Semangat kebersamaan antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sepanjang pilihan raya ini akan terus diperkukuhkan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang insya-Allah lebih stabil, lebih kukuh dan lebih berwibawa,” katanya.
BN-PN secara tidak rasmi memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka Ke-16, sekali gus mendapat mandat untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


