PRN MELAKA: KEMENANGAN BN-PN JADI TITIK MULA SATUKAN RAKYAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 14 November – Seluruh rakyat Melaka diseru melupakan perbezaan politik dan kembali bersatu bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Seruan itu disampaikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu semua pihak menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka, tanpa mengira parti atau calon yang disokong sebelum ini.

Beliau berkata, kemenangan BN bersama Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya kali ini perlu menjadi titik permulaan untuk menyatukan semula rakyat Melaka.

“Kami harap agar setiap individu di Negeri Melaka, sama ada para pengundi atau rakyat Negeri Melaka, kita lupakan kisah lalu, biduk lalu kiambang bertaut, marilah kita satukan hati seluruh rakyat Negeri Melaka tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di BN Command Centre, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta beberapa kenamaan lain.

Menurutnya, mandat yang diterima BN-PN perlu dimanfaatkan untuk memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

Beliau turut berharap kemenangan gabungan itu dapat menjadi suntikan semangat kepada kepimpinan dan jentera parti untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, BN-PN secara tidak rasmi memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post 14 HARI BERKEMPEN, ADLY AKUI TIDAK SEMPAT KEJAR SOKONGAN
Next post PRN MELAKA: KEMENANGAN HATRIK BUKAN ALASAN UNTUK BERMEGAH – AHMAD ZAHID