(TAK RASMI) PRN MELAKA: BN-PN BENTUK KERAJAAN, RAIH MAJORITI DUA PERTIGA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 14 November – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara tidak rasmi memperoleh majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selepas memenangi 22 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan berdasarkan kepada keputusan tidak rasmi.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Pusat Operasi BN, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, kira-kira jam 8.30 malam ini.

Keputusan tidak rasmi itu menyaksikan BN-PN memenangi kerusi DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal dan Asahan.

Gabungan itu turut menguasai kerusi Sungai Udang, Klebang, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau, Sungai Rambai, Paya Rumput, Bukit Katil dan Bemban.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mendahului di empat kerusi DUN iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Bandar Hilir dan Kota Laksamana setakat jam 8.20 malam.

Pencapaian itu sekali gus meletakkan BN-PN di landasan untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu selepas memperoleh jumlah kerusi melebihi majoriti dua pertiga dalam DUN Melaka.

PRN Melaka Ke-16 menyaksikan sebanyak 79 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN.

Hari pengundian berlangsung hari ini selepas proses penamaan calon pada 31 Oktober lalu, manakala pengundian awal diadakan pada 10 November.

Seramai 687,697 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KEPUTUSAN TIDAK RASMI BN-PN PEROLEH MAJORITI MUDAH MENANG 18 KERUSI DUN
Next post PRN MELAKA: BN-PN MENANG BESAR, KUASAI 24 DARIPADA 28 KERUSI DUN