
DUA KEMENANGAN HADIAH BUAT EMPAT PELAJAR UITM JASIN
BANDARAYA MELAKA 14 November – Kesibukan menyiapkan projek tahun akhir bukan penghalang buat empat pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin mencipta kejayaan apabila meraih dua kemenangan dalam pertandingan menghasilkan video dan poster kreatif.
Kejayaan itu menyaksikan mereka merangkul Johan Pertandingan Poster Kreatif Peringkat Kebangsaan 2026 serta tempat ketiga Pertandingan Video Penceritaan Data Peringkat Kebangsaan 2026 bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Lebih membanggakan, idea dan kreativiti mereka berjaya diterjemahkan kepada hasil karya menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI), dengan proses penghasilan video mengambil masa hanya satu hingga dua hari.
Wakil kumpulan, Murni Nasuha Nawawi, 21, berkata, mereka memanfaatkan platform ‘OpenDOSM’ untuk mendapatkan data sebelum menggunakan aplikasi ‘Gemini’ bagi membantu menganalisis maklumat, menghasilkan ringkasan serta mencetuskan idea kandungan video.
Menurut pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik itu, kumpulannya memilih topik pendapatan dan indeks harga bagi melihat sejauh mana peningkatan pendapatan rakyat seiring dengan kenaikan harga barangan semasa.
“Kami mahu melihat sama ada pendapatan rakyat sekarang seimbang dengan kenaikan harga barang, selain menilai kemampuan mereka untuk membeli keperluan harian.
“Selepas mendapatkan graf dan ringkasan data, kami mula menghasilkan video dari awal dengan bantuan AI,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan di sini, 11 November lalu.
Murni berkata, meskipun teknologi AI banyak membantu mempercepatkan proses penghasilan karya, mereka tetap berdepan cabaran untuk memastikan kandungan video yang dihasilkan mampu menarik perhatian penonton.
Katanya, kekangan masa turut menjadi cabaran utama memandangkan mereka merupakan pelajar tahun akhir yang sedang sibuk menyiapkan projek pengajian masing-masing.
“Cabaran kami adalah bagaimana mahu menyampaikan idea yang diperoleh supaya video itu menarik perhatian audiens, terutama generasi sekarang yang lebih tertarik kepada kandungan kreatif.
“Namun, dengan bantuan AI alhamdulillah video itu dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja,” katanya.
Mengulas pengalaman menyertai pertandingan itu buat kali pertama, Murni berkata, peluang itu diperoleh hasil galakan pensyarah mereka yang menggalakkan kumpulan tersebut mencuba sesuatu di luar kebiasaan.
“Kalau kita tidak ambil peluang dan mencuba, kita tidak akan tahu kemampuan diri. Insya-Allah, jika diberi kelapangan, kami mahu menyertainya lagi pada tahun hadapan,” katanya.
Selain Murni, tiga lagi ahli kumpulan ialah Nur Hadirah Syafiqah Hamdan, 22, Damia Qistina Muzamir, 21, dan Syaza Fadlin Mohd Anuwar, 21.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

