PRN MELAKA: TERLANTAR SAKIT, IBU CALON BN ASAHAN TETAP GAGAH TUNAI UNDI

Masa Membaca:57 Saat

REMBIA 14 November – Keadaan kesihatan yang menyebabkan dirinya terlantar sakit tidak menghalang ibu kepada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan untuk hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 hari ini.

Sharifah Masnah, 67, tiba di pusat mengundi di Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin pada kira-kira jam 4 petang tadi dengan menaiki ambulans bagi membolehkannya mengundi.

Kehadirannya turut diiringi, Fairul Nizam yang membantu memastikan urusan ibunya berjalan lancar.

Sebaik ambulans tiba, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama kakitangan perubatan yang bertugas segera memberikan bantuan bagi memudahkan pergerakan Sharifah Masnah ke tempat mengundi.

Urusan pengundian kemudian dilaksanakan dengan bantuan petugas dalam keadaan teratur dan berhati-hati bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengundi berkenaan.

Fairul Nizam turut menzahirkan rasa syukur dan merakamkan penghargaan kepada semua petugas SPR serta kakitangan perubatan atas bantuan yang diberikan sehingga ibunya selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Kesungguhan Sharifah Masnah hadir ke pusat mengundi meskipun berdepan keterbatasan kesihatan menjadi antara kisah yang mencuri perhatian pada hari pengundian PRN Melaka Ke-16 kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

855
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: HELMY HARAP MELAKA JADI CONTOH KADAR KELUAR MENGUNDI TINGGI