
PRN MELAKA: PASANGAN PENGANTIN TERLEBIH TERUJA, TERLUPA BAWA KAD PENGENALAN
ALOR GAJAH 14 November – Keterujaan sepasang pengantin baharu yang hadir untuk mengundi dengan lengkap berbusana perkahwinan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru bertukar detik cemas apabila mereka terlupa untuk membawa kad pengenalan.
Pasangan anak jati Machap Baru iaitu, Yaw Wei Ming, 31, dan Chan Jia Lin, 27, tampil bergaya tiba pada jam 12 tengah hari menaiki sebuah kereta vintaj model TD2000 berhias reben merah jambu, serta diiringi konvoi rombongan tujuh buah kenderaan lain.
Ketibaan pasangan itu di perkarangan luar sekolah berkenaan turut disambut mesra dan diraikan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N08 Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem.
Bagaimanapun, mereka hanya menyedari ketiadaan dokumen penting tersebut ketika hendak mendaftar untuk proses pembuangan undi, memaksa pasangan berkenaan bergegas pulang sebentar ke rumah.
Wei Ming yang bekerja di sektor pembinaan dan Jia Lin (Eksekutif Sumber Manusia) memaklumkan, mereka yang mencari rezeki di Singapura mengambil cuti dan pulang ke Melaka pada Rabu lalu untuk majlis hari bahagia tersebut.
Menyifatkan pengalaman itu sebagai momen yang tidak dapat dilupakan, Wei Ming meluahkan rasa terujanya dapat mencuri masa menunaikan tanggungjawab demokrasi pada hari bersejarah mereka.
“Memang ‘special’ (istimewa) sebab kami pakai baju pengantin ini dan terus pergi mengundi. Bangga, seronok dan ‘happy’ (gembira),” katanya ketika ditemui pemberita di pusat mengundi di SJKC Machap Baru, hari ini.
Mengulas mengenai tarikh perkahwinan tersebut, beliau menjelaskan bahawa majlis itu telah dirancang sejak setahun lalu dan secara kebetulan jatuh tepat pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
“Memang dah rancang tarikh perkahwinan hari ini sejak awal setahun lalu. Kebetulan jatuh pada hari mengundi,” tambahnya lagi.
Wei Ming memberitahu bahawa mereka sempat menunaikan kewajipan agama di awal pagi.
“Tadi kami pergi tokong untuk ambil gambar dan sembahyang sebelum bergegas ke sini (pusat mengundi). Namun kami terlupa membawa kad pengenalan masing-masing,” katanya.
Difahamkan pasangan itu kembali ke pusat pengundian pada jam 1.45 tengah hari dengan masih mengenakan pakaian pengantin dan akhirnya berjaya merakam kenangan bermakna menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari perkahwinan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


