PRN MELAKA: APA JUA KEPUTUSAN BAN HONG TETAP SETIA BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KLEBANG 14 November – Khidmat kepada rakyat tidak seharusnya terhenti selepas pilihan raya, malah akan diteruskan tanpa mengira keputusan yang bakal diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) berkata, pendekatan itu menjadi tradisi BN dalam memastikan tanggungjawab dan perjuangan untuk masyarakat terus dilaksanakan, sama ada ketika memegang jawatan sebagai wakil rakyat mahupun sebaliknya.

Menurutnya yang telah berkhidmat lebih 20 tahun di DUN Kelebang, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang menyaksikannya terus setia berkhidmat membantu rakyat di kawasan itu.

“Sebagai contoh 2018, 2019, 2020, tiga tahun itu saya tidak memegang jawatan sebagai Adun DUN Klebang, tetapi saya tetap turun untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat walaupun dengan kekangan yang ada pada masa itu.

“Saya ingat lagi waktu pandemik COVID-19, kita tetap turun mengedarkan kit makanan, membantu dalam memudahkan urusan suntikan vaksin dan lain-lain. Saya fikir itu menunjukkan rekod Barisan Nasional yang tetap berkhidmat walaupun tidak memegang jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Lim Ban Hong berkata, peratusan keluar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka khususnya pada sebelah pagi dilihat agak menggalakkan, namun terus menyeru pengundi supaya hadir lebih awal bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Katanya, pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun merupakan tanggungjawab rakyat dalam menentukan wakil rakyat dan kerajaan yang akan dipilih.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya mengutamakan keselamatan ketika dalam perjalanan ke pusat mengundi dan pulang selepas selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: POLIS PERKETAT KAWALAN KESELAMATAN DI 4 LOKASI TUMPUAN