PRN MELAKA: RAIS TIDAK KEKOK UNDI BUKAN BENDERA BN

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 14 November – Mengundi lambang bukan Barisan Nasional (BN) tidak menimbulkan rasa kekok buat calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Ia berikutan Rais yang juga bekas penyandang kerusi DUN Paya Rumput, hanya melihat logo daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bersama Malaysia susulan pertukaran kawasan bertanding.

“Sebenarnya saya tidak langsung rasa kekok kerana saya rasa daripada bermulanya kerjasama strategik yang telah diuar-uarkan bermula daripada awal, kita sudah tahu.

“Jadi niat di hati kita dan apa yang kita mahukan, kita tahu. Hadam dan tujuan kita juga kita pasti.

“Jadi insya-Allah, seperti saya selalu katakan, kita tetapkan iman kita itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi bersama isteri, ibu dan bapanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, di sini, hari ini.

Mengulas suasana pengundian, Rais berkata, keadaan yang diperhatikannya pagi ini tenang dan proses pengundian berjalan lancar.

“Suasana pagi ini saya dapat rasakan sangat-sangat tenang dan memang betul-betul orang Melaka baik-baik sahajalah, berada dalam keadaan tidak ada apa-apa insiden,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi di DUN N.11 Sungai Udang: N.12 Pantai Kundor; N.13 Paya Rumput dan N.14 Kelebang serta seluruh Melaka supaya keluar mengundi awal bagi mengelakkan urusan mereka terjejas sekiranya hujan pada sebelah petang.

“Kepada jentera Barisan Nasional juga sama, tolong pastikan undi-undi putih kita keluar awal,” katanya merujuk pengundi yang dikenal pasti sebagai penyokong parti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta semua kakitangan yang bertugas memastikan kelancaran proses pengundian.

“Cuaca memang nampaknya baik, tetapi kita doakan yang terbaik hari ini, insya-Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: HAMPIR 370,000 KELUAR MENGUNDI SETAKAT 2 PETANG
Next post PRN MELAKA: POLIS PERKETAT KAWALAN KESELAMATAN DI 4 LOKASI TUMPUAN