‘SAYA RASA SUDAH DEWASA’ JARI BERDAKWAT, TERUJA UNDI KALI PERTAMA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER MOLEK 14 November – Pengalaman pertama kali mengundi bukan sahaja mencetuskan keterujaan, malah menjadi kenangan manis buat seorang gadis berusia 19 tahun, Afrina Hannani Helmi yang tidak sabar merasai sendiri pengalaman memilih wakil rakyat.

Afrina Hannani berkata, dia sudah lama menantikan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan teruja apabila akhirnya berpeluang melaksanakannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Anak bongsu dari dua beradik itu berkata, meskipun pertama kali melalui proses pengundian, dia tidak berasa terlalu gementar sebaliknya hadir dengan penuh keyakinan.

“Saya, ‘first time’ mengundi, memang teruja sebab sudah lama tunggu peluang ini.

“Saya nak rasa sendiri pengalaman mengundi itu macam mana, lagi pula saya hadir bersama kakak, Asmahani Helmi,21 dan ibu, Amilia Mohamad, 52 jadi memang seronok dan ini kenangan manis untuk saya,” katanya.

Dia berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang, di sini, hari ini.

Lebih menarik, Afrina Hannani berkata dakwat kekal pada jari disifatkan sebagai tanda dirinya kini sudah melangkah ke alam dewasa selepas berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Malah, secara berseloroh, Afrina Hannani berkata dia mahu menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat kekal itu kepada orang sekeliling selain tidak mahu melepaskan peluang menikmati tawaran percuma yang disediakan sempena hari pengundian.

“Saya rasa sudah dewasa dan nak pergi semua tempat untuk tunjuk jari ini. Masa untuk ‘claim’semua benda yang percuma hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Melaka supaya mengambil peluang yang ada untuk keluar mengundi dan tidak mengabaikan tanggungjawab memilih pemimpin negeri.

Katanya, setiap pengundi mempunyai hak untuk membuat pilihan sendiri dan perlu memilih berdasarkan keyakinan terhadap pihak yang dirasakan mampu memimpin Melaka dengan baik.

“Undilah dengan yakin pihak yang anda rasa boleh memimpin Melaka dengan baik dan berhak untuk memimpin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post CUACA BAIK, PENGUNDI DUN AYER MOLEK DISARAN KELUAR AWAL
Next post PRN MACAM HARI RAYA, RAZALE LENGKAP BERBAJU MELAYU DAN TANJAK