PRN MELAKA: MAT AZIZ PENGUNDI PERTAMA DI SMK TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

TELOK MAS 14 November – Faktor usia bukan penghalang buat Mat Aziz Alani apabila beliau menjadi antara pengundi terawal yang selesai menunaikan tanggungjawab di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, hari ini.

Warga emas dari Tambak Bugis itu tiba seawal 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.

Menurutnya, proses pengundian berjalan lancar dengan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan layanan dan bantuan kepada warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

“Walaupun ini bukan kali pertama saya mengundi, perasaan teruja tetap ada dan saya cuba keluar seawal pagi untuk menjalankan tanggungjawab.

“Sebagai persiapan, saya juga sudah membuat semakan tempat mengundi dan saluran kira-kira seminggu lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di SMK Telok Mas, hari ini.

Dia berkata, pengalaman mengundi pada PRN kali ini agak berbeza berbanding pilihan raya terdahulu memandangkan usianya kini sudah mencecah kategori warga emas.

“Tahun ini agak berbeza kerana usia saya sudah mencecah warga emas dan layanan yang diberikan juga amat membantu memudahkan urusan mengundi.

“Boleh dikatakan proses pengundian amat lancar kerana tidak sampai beberapa minit semuanya selesai, tambahan pula kali ini saluran saya terletak di tingkat bawah.

“Terima kasih kepada petugas SPR yang banyak membantu dan memberikan keselesaan, khususnya kepada golongan warga emas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

185
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: FAIRUL NIZAM HARAP PENGUNDI MANFAATKAN CUACA BAIK, KELUAR MENGUNDI AWAL