PRN MELAKA: RAIS SELESAI BUANG UNDI DI SK PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 14 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, di sini, pagi ini.

Beliau tiba di pusat mengundi berkenaan kira-kira jam 9.25 pagi bersama isterinya, Datin Ernie Aidilia Karim, serta ibu, bapa dan kakaknya.

Meskipun bertanding di Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Rais dan isteri membuang undi di Paya Rumput, kawasan yang diwakilinya pada penggal lalu.

Rais memenangi kerusi DUN Paya Rumput pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti 629 undi sebelum diberi tanggungjawab membawa cabaran BN di Sungai Udang pada pilihan raya kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mejar (B) Abdullah Mahadi dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Mohd Ridzuan Abdul Rahman.

Pada hari penamaan calon, Rais memperoleh nombor calon tiga, manakala Abdullah dan Mohd Ridzuan masing-masing mendapat nombor satu dan dua.

Pencalonan Rais menyaksikan BN berusaha merampas semula kerusi Sungai Udang yang dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd Aleef Yusof dengan majoriti 530 undi pada PRN Melaka 2021.

PRN Melaka ke-16 menyaksikan seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.

Sebanyak 240 pusat mengundi biasa melibatkan 1,213 saluran dibuka di seluruh negeri bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

SPR turut menasihatkan pengundi supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk keluar mengundi serta merujuk masa keluar mengundi yang digalakkan menerusi aplikasi MySPR Semak.

Pilihan raya kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 23 September lalu.

Pada PRN Melaka 2021, BN membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF HARAP PENGUNDI KELUAR AWAL, DIJANGKA HUJAN SEBELAH PETANG
Next post PRN MELAKA: ABDUL HAKIM SELESAI BUANG UNDI DI SRA JAIM DURIAN DAUN