
PRN MELAKA: RIDHWAN SELESAI BUANG UNDI DI SK BUKIT LINTANG
AYER MOLEK 13 November – Calon Barisan Nasional bagi N18 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila hadir membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang di sini, pagi ini.
Beliau tiba di pusat mengundi kira-kira jam 8.46 pagi bersama isteri Datin Dr. Nur Azieha Ali sebelum menyelesaikan proses pengundian di saluran nombor 4 pada jam 8.52 pagi.
Pada PRN Ke-16 ini, beliau berdepan pertembungan dua penjuru, di mana akan dicabar Muhammad Hakimin Mokhtar mewakili Pakatan Harapan (PH).
PRN Melaka ke-16 menyaksikan seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi.
Daripada jumlah itu, seramai 675,166 merupakan pengundi biasa, manakala 12,531 lagi terdiri daripada anggota tentera, pasangan dan anggota polis yang telah diberikan peluang menunaikan tanggungjawab melalui pengundian awal serta undi pos.
Sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula 8 pagi hingga 6 petang.
Pilihan raya kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September lalu.
Pada PRN Melaka 2021, BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


