PRN MELAKA: BERKERUSI RODA TIDAK HALANG NEK MUNAH MENGUNDI, MAHU BALAS JASA ‘YB HELMY’

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DUYONG 13 November – Semangat seorang warga emas berusia 75 tahun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 esok begitu membara, malah keterujaannya disamakan seperti menanti ketibaan Aidilfitri.

Biarpun terpaksa bergantung pada kerusi roda untuk bergerak, Maimunah Omar atau lebih mesra disapa Nek Munah tidak sabar untuk ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat.

Malah, dia turut menzahirkan penghargaan terhadap penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem atas keprihatinan dan bantuan yang diterimanya sepanjang tempoh wakil rakyat itu berkhidmat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sikap Mohd Noor Helmy yang sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk cukup menyentuh hatinya, termasuk kesudian calon nombor 2 mewakili Barisan Nasional (BN) itu mengunjungi rumahnya ketika anaknya meninggal dunia sebelum ini.

“Memang hati ini mahu menyokong dia kerana banyak jasanya terhadap saya, malah turut membantu menyediakan kerusi roda serta katil.

“Tidak hanya itu, kalau ada sebarang masalah dan dia mendapat tahu, pasti dia akan datang bertanya khabar walaupun hanya sekejap,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia merancang untuk keluar mengundi seawal pagi dengan bantuan jentera pilihan raya bagi melancarkan urusan pergerakannya ke pusat mengundi.

“Boleh dikatakan saya tidak sabar menunggu hari mengundi, rasanya seperti kita berpuasa dan tiba masanya menyambut Hari Raya.

“Walaupun kini saya memerlukan bantuan orang lain untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, itu bukan penghalang kerana kemudahan kerusi roda turut disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘MOMENTUM KALI INI LUAR BIASA’ – RAIS