
PRN MELAKA: CIKGU MUSTAFA SERU ANAK PERANTAU PULANG UNDI BIRU
DURIAN TUNGGAL 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa merayu anak perantau supaya pulang mengundi esok bagi menentukan hala tuju serta masa depan kampung halaman mereka.
Beliau berkata, peluang memilih wakil rakyat hanya hadir sekali dalam tempoh lima tahun, justeru setiap undi amat penting bagi memastikan kesinambungan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, beliau berpuas hati dengan sambutan serta penerimaan masyarakat sepanjang turun padang menyantuni pengundi dari pagi hingga petang.
Katanya, reaksi positif, senyuman dan sokongan yang ditunjukkan penduduk sepanjang kempen turut menyuntik semangat kepada beliau dan jentera BN untuk meneruskan usaha hingga ke saat akhir.
“Peluang ini hanya datang lima tahun sekali. Undi yang kita beri esok akan menentukan kemakmuran, kestabilan dan pembangunan Durian Tunggal,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Bukit Tambun Perdana.
Sehubungan itu, Mustafa sekali lagi menyeru semua pengundi termasuk anak perantau dan penduduk setempat supaya pulang mengundi serta bersama-sama memberikan sokongan kepada BN.
“Justeru, saya menyeru seluruh pengundi dari dalam mahupun di luar, termasuk anak perantau serta penduduk tempatan di Durian Tunggal, ayuh kita sama-sama segarkan gelombang biru,” katanya.
Terdahulu, bagi memeriahkan hari terakhir kempen, jentera BN turut menganjurkan program ‘Flashmob Kita Geng Biru’ secara serentak di tiga lokasi strategik dalam kawasan DUN Durian Tunggal.
Lokasi berkenaan ialah kawasan berhadapan PETRON Gangsa, di hadapan Pusat Perniagaan Durian Tunggal 2 bersebelahan stesen minyak SHELL Durian Tunggal serta Persimpangan Bulatan Pekan Pantai Belimbing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

