
PRN MELAKA: AB RAUF SELESAI MENGUNDI DI SK JERAM
TANJUNG BIDARA 14 November – Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh selesai mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, di sini, pagi ini.
Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan tiba di pusat mengundi pada jam 8.28 pagi dengan ditemani isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Azis sebelum menyelesaikan proses pengundian di saluran 1 pada jam 8.38 pagi.
Pada PRN Ke-16 ini, beliau berdepan saingan satu lawan satu dengan muka baharu Pakatan Harapan (PH), Mohd Yunazri Mustamiri.
Pada PRN Melaka 2021 Ab Rauf mewakili BN memenangi kerusi DUN Tanjung Bidara selepas memperoleh 3,559 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang memperoleh 3,195 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan mendapat 489 undi.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi.
Daripada jumlah itu, seramai 675,166 merupakan pengundi biasa, manakala 12,531 lagi terdiri daripada anggota tentera, pasangan dan anggota polis yang telah diberikan peluang menunaikan tanggungjawab melalui pengundian awal serta undi pos.
Sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula 8 pagi hingga 6 petang.
Pilihan raya kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September lalu.
Pada PRN Melaka 2021, BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

