
PRN MELAKA: AB RAUF BERPUAS HATI, LEBIH 500 PENGUNDI HADIR SEBELUM 9 PAGI
TANJUNG BIDARA 14 November – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 serta kehadiran awal pengundi di pusat mengundi, awal pagi ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, lebih 500 pengundi telah hadir menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sebelum jam 9 pagi.
“Saya amat berpuas hati. Pagi ini sebelum pukul 9, saya tanya tadi sudah lebih 500 orang yang datang,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz di SK Jeram, di sini, hari ini.
Ab Rauf turut memuji pengurusan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disifatkan teratur dan sistematik, sekali gus memudahkan urusan rakyat untuk keluar mengundi.
“Saya lihat tugas yang dijalankan oleh pegawai-pegawai SPR memang nampak teratur dan ketertibannya tak menyusahkan pengundi yang datang, kerana ini adalah satu usaha yang terbaik bagi memudahkan rakyat datang mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka, khususnya pengundi di kawasan Tanjung Bidara, yang akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

