
PRN MACAM HARI RAYA, RAZALE LENGKAP BERBAJU MELAYU DAN TANJAK
MERLIMAU 14 November – Suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Merlimau tampil dengan kelainan apabila seorang pengundi hadir lengkap berbaju Melayu tradisional berserta tanjak, seolah-olah meraikan sambutan hari raya.
Penampilan Tok Sidang Merlimau Pantai, Razale Baba, 63, itu bukan sekadar mencuri perhatian pengundi lain, malah menjadi manifestasi minatnya terhadap busana tradisional Melayu.
Beliau, menganggap hari pengundian sebagai satu sambutan istimewa seperti hari raya atau pesta yang wajar diraikan dengan mengenakan pakaian tradisional.
Razale juga mahu mengambil kesempatan itu untuk memperkenalkan keindahan busana Melayu kepada masyarakat, khususnya mereka yang mungkin tidak pernah mengenakan pakaian berkenaan.
“Saya memang minat busana. Sebelum ini pun saya datang mengundi dengan pakaian seperti ini.
“Saya anggap hari mengundi ini macam Hari Raya, macam pesta. Ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak pernah memakai busana seperti ini, jadi saya tunjuklah,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau, di sini, hari ini.
Razale berkata, pemilihan busana lengkap bertanjak itu juga menjadi cara tersendiri untuk memeriahkan suasana pilihan raya sambil mengekalkan identiti dan warisan pakaian tradisional Melayu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

