PAGAR BELUM DIBUKA, KADHI MATHI TIBA AWAL SEMANGAT MAHU TUNAI TANGGUNGJAWAB

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PAYA RUMPUT 14 November – Ketika pagar pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput masih berkunci, K Kandhi Mathi, 69, sudah tiba dengan satu tekad, mahu menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

Hadir seawal jam 7 pagi dengan menggunakan kerusi roda dengan ditemani, suami, warga emas itu tidak menjadikan keterbatasan pergerakan sebagai penghalang untuk keluar mengundi, hari ini.

Baginya, mengundi adalah kewajipan yang tetap mahu ditunaikan meskipun keadaan fizikalnya kini tidak seperti dahulu.

“Sebab kita mahu undi, itu kewajipan kita,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi berkenaan.

Kandhi Mathi berkata, tekadnya untuk hadir juga tidak berubah walaupun suaminya ada menyarankan supaya beliau tidak keluar mengundi kerana keadaannya yang terbatas.

“Suami cakap tak apa, tak payah, tak payah. Saya cakap tak ada, saya mesti mahu pergi,” katanya.

Jawapan ringkas itu menggambarkan kesungguhannya untuk terus mengambil bahagian dalam proses memilih wakil rakyat.

Menurut Kandhi Mathi, beliau mula mengundi sejak berusia 21 tahun dan mempunyai ikatan rapat dengan Paya Rumput, tempat beliau dilahirkan serta membina kehidupan berkeluarga.

“Lahir sini, kahwin pun sini, semua sini. Suami saya pun orang sini,” katanya.

Berkongsi mengenai keadaan dirinya, beliau berkata, pergerakannya kini memerlukan bantuan kerusi roda selepas mengalami kecederaan pada tulang belakang akibat terjatuh di rumah anaknya.

Menurutnya, ini pengalaman pertama beliau hadir mengundi menggunakan kerusi roda namun, perubahan itu tidak memadamkan keinginannya untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Apabila ditanya sama ada kesukaran bergerak menjadi halangan untuknya hadir, Kandhi Mathi menjawab tanpa ragu-ragu.

“Eh, mesti mahu undi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

351
Kongsi :
Previous post MULA-MULA NERVOUS, LEPAS TU LEGA! – PENGUNDI MUDA TERUJA TUNAI UNDI PERTAMA
Next post BERKAIN PELIKAT, BERTENGKOLOK TUNAI TANGGUNGJAWAB MENGUNDI