PRN MELAKA: DR. AKMAL KOMITED TERUSKAN KHIDMAT TERBAIK UNTUK WARGA MERLIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

MERLIMAU 14 November – Komitmen turun padang, menyantuni penduduk dan menyelesaikan aduan masyarakat akan terus menjadi keutamaan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sekiranya diberi mandat untuk mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau bagi penggal seterusnya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Merlimau itu berkata, pendekatan mengunjungi kampung serta mendekati masyarakat akan diteruskan bagi memastikan setiap keperluan dan permasalahan penduduk mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu bukan sekadar memenuhi manifesto, malah turut merangkumi usaha membantu menyelesaikan pelbagai aduan serta memudahkan urusan masyarakat.

“Usaha ini selaras dengan perancangan Kerajaan Negeri sebelum ini untuk meneruskan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kepada masyarakat sepanjang penggal seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bersama isterinya, Datin Dr. Fatin Nadhirah Idrus, di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Akmal berkata, proses pengundian yang disertainya bersama keluarga pada pagi ini berjalan lancar, selain memuji petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjalankan tugas dengan baik.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Melaka yang layak mengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian.

“Saya rasa ramai yang keluar mengundi pagi ini, jadi saya menyeru kepada semua yang boleh mengundi, terutama rakyat Melaka, laksanakan tanggungjawab anda pada hari ini, insya-Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MAT AZIZ PENGUNDI PERTAMA DI SMK TELOK MAS
Next post MULA-MULA NERVOUS, LEPAS TU LEGA! – PENGUNDI MUDA TERUJA TUNAI UNDI PERTAMA