CUACA BAIK, PENGUNDI DUN AYER MOLEK DISARAN KELUAR AWAL

Masa Membaca:53 Saat

AYER MOLEK 14 November – Pengundi khususnya N.18 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek disaran supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing seawal mungkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Molek Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, pengundi perlu memanfaatkan keadaan cuaca baik pada sebelah pagi untuk keluar mengundi bagi mengelakkan hujan yang kebiasaannya melanda pada waktu petang.

Beliau yang juga Pengerusi BN Hang Tuah Jaya berkata, pengundi disaran tidak menangguhkan proses pengundian bagi mengelakkan sebarang kesulitan sekiranya keadaan cuaca berubah.

“Saya saran kepada semua pengundi termasuk di DUN Ayer Molek untuk keluar awal serta menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam keadaan lebih selesa dan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Ridhwan tiba di pusat mengundi kira-kira jam 8.46 pagi bersama isteri Datin Dr. Nur Azieha Ali sebelum menyelesaikan proses pengundian di saluran nombor 4 pada jam 8.52 pagi tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

248
Kongsi :
Previous post BERKAIN PELIKAT, BERTENGKOLOK TUNAI TANGGUNGJAWAB MENGUNDI
Next post ‘SAYA RASA SUDAH DEWASA’ JARI BERDAKWAT, TERUJA UNDI KALI PERTAMA