PRN MELAKA: MOMENTUM ‘GELOMBANG BIRU’ BUKTI RAKYAT PILIH REKOD PENCAPAIAN, TOLAK RETORIK POLITIK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 14 November – Kejayaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai kesinambungan momentum ‘Gelombang Biru’ di beberapa negeri.

Beliau berkata, momentum berkenaan bermula di Johor sebelum diteruskan di Negeri Sembilan, selain kini diperkukuh menerusi keputusan pilihan raya di Melaka.

Menurutnya, kemenangan itu turut memperlihatkan sokongan rakyat terhadap rekod pencapaian, kestabilan dan hala tuju pembangunan yang ditawarkan BN bersama rakan strategiknya, PN.

“Alhamdulillah, mandat lebih dua pertiga majoriti ini membuktikan bahawa rakyat Melaka terus memilih rekod pencapaian dan kestabilan serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan oleh BN dan PN berbanding retorik politik yang dimainkan sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di BN Command Centre, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta beberapa kenamaan lain.

BN-PN secara tidak rasmi memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka Ke-16, sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.

BN memenangi 21 kerusi DUN iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Klebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Manakala, tiga kerusi yang dimenangi PN ialah Paya Rumput, Bukit Katil dan Bemban.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN AKAN BENTUK KERAJAAN STABIL, KUKUH, BERWIBAWA