KISAH KOMUNITI JAWA PERLU DIANGKAT DALAM SEJARAH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDA HILIR 15 November – Sejarah dan sumbangan masyarakat Jawa dalam membentuk landskap budaya Melaka perlu didokumentasikan bagi memastikan warisan itu kekal sebagai sebahagian daripada identiti negeri.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah berkata kisah masyarakat Jawa di Melaka wajar diangkat sebagai sebahagian daripada sejarah sosial dan budaya negeri, termasuk sumbangan terhadap komuniti, ekonomi, seni, adat dan persekitaran binaan.

“Kepelbagaian budaya yang dimiliki Melaka terbentuk hasil sejarah negeri ini sebagai pelabuhan dan pusat pertemuan masyarakat dari pelbagai wilayah.

“Perjalanan warisan Jawa di Indonesia dan Malaysia memperlihatkan bagaimana budaya berkembang, berinteraksi serta menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu tanpa menghilangkan nilai asalnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Antarabangsa Ke-3 Warisan Silang Budaya Indonesia-Malaysia: Pemeliharaan Warisan dan Budaya Jawa di Indonesia dan Malaysia yang menghimpunkan 70 peserta di Muzium Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, usaha pemeliharaan perlu memberi perhatian seimbang kepada warisan ketara dan tidak ketara termasuk rumah tradisional, artifak, bahasa, cerita lisan, adat, muzik, tarian serta kemahiran kraf.

“Kerjasama Malaysia dan Indonesia juga penting bagi memperluas penyelidikan bersama, perkongsian dokumentasi, pertukaran kepakaran serta program pendidikan warisan.

“Justeru, penglibatan generasi muda perlu dipertingkatkan menerusi program pendidikan, bengkel bersama pengamal budaya dan dokumentasi digital supaya warisan ini terus hidup serta berkembang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

316
Kongsi :
Previous post DR. MOHD YADZIL PERTAHAN BEMBAN, MENANG DENGAN MAJORITI 7,741