
PRN MELAKA: POLITIK DIGITAL MEDIUM PENTING KEMPEN
AYER KEROH 14 November – Pendekatan kempen secara digital yang semakin meluas perlu menjadi sebahagian daripada strategi komunikasi ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina berkata, penggunaan media sosial dalam kempen politik semakin ketara terutamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 apabila parti politik memanfaatkan platform untuk menyampaikan mesej, membuat hantaran serta memberi maklum balas kepada pengundi.
Katanya, pendekatan digital kini melengkapi kaedah kempen tradisional seperti ceramah dan kunjungan dari rumah ke rumah.
“Kalau ahli-ahli parti UMNO dan BN bergiat dalam politik hari ini, komunikasi mereka mesti turut melibatkan politik digital sebagai sebahagian daripada perjuangan.
“Kempen bukan lagi secara tradisional seperti dahulu. Mungkin masih ada pendekatan rumah ke rumah dan ceramah, tetapi penggunaan platform digital semakin meluas.
“Kira-kira 50 hingga 60 peratus saya tengok semua parti politik sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) banyak mengguna pakai platform digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PRN Melaka Ke-16 di Command Center BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Menurut Azalina, jentera BN pada pilihan raya kali ini turut memperlihatkan pendekatan kempen yang lebih aktif dan tersusun selain memberi tumpuan kepada gerak kerja lapangan tanpa kempen berunsur negatif.
“Apa yang penting saya lihat jentera BN kali ini agak cergas selain tiada kempen kotor dan amat fokus dari segi pendekatan serta di lapangan.
“Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas kemenangan dengan majoriti 2/3 untuk PRN Melaka ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

