
AB RAUF HARGAI PERANAN MEDIA BANTU CALON PRN MELAKA
AYER KEROH 15 November – Sumbangan dan komitmen pasukan media yang membantu memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 mendapat penghargaan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, sokongan padu pasukan media dari seluruh negara memainkan peranan penting dalam membantu memperkenalkan dirinya serta semua calon BN yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Katanya, penghargaan itu diberikan kepada seluruh pasukan yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen bagi memastikan mesej dan pengenalan calon BN dapat disampaikan kepada rakyat.
“Terima kasih kerana memberikan sokongan yang cukup hebat dalam kempen pilihan raya Negeri Melaka kali ini.
“Peranan anda semua yang dimainkan untuk membantu saya memperkenalkan saya dan semua calon-calon Barisan Nasional yang bertanding amat saya hargai,” katanya dalam satu ucapan penghargaan.
Beliau turut menyampaikan penghargaan khusus kepada pasukan media yang terlibat dalam kempen berkenaan, sambil memuji komitmen mereka dari seluruh negara.
“Pada team media, from east to the west, you are still the best. Terima kasih kepada semua,” katanya.
Pada PRN Melaka Ke-16, BN memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala rakan gabungannya, Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi.
Gabungan BN-PN secara keseluruhan menguasai 24 kerusi DUN, sekali gus memperoleh majoriti tiga perempat untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


