SENGGUGUT TERUK, PENDARAHAN LUAR BIASA JANGAN ANGGAP NORMAL

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KLEBANG 14 November – Senggugut teruk dan pendarahan haid luar biasa bukan keadaan normal yang boleh dipandang ringan, sebaliknya berkemungkinan menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan reproduktif yang memerlukan pemeriksaan serta rawatan pakar.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC), Dr. Nor Idyani Abd Rashid berkata, antara masalah kesihatan wanita yang lazim berlaku termasuk senggugut (dysmenorrhea), Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) dan jangkitan faraj.

Menurutnya, wanita perlu meningkatkan kesedaran untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan, khususnya apabila simptom yang dialami mula mengganggu rutin harian sehingga menjejaskan keupayaan untuk bekerja atau menghadiri sesi persekolahan.

“Bila sakit itu semakin lama semakin bergantung pada ubat penahan sakit, atau kitaran haid yang asalnya seminggu menjadi berpanjangan sehingga dua minggu, itu adalah keadaan luar biasa.

“Malah, pesakit endometriosis boleh mengalami sakit pelvis kronik, iaitu kesakitan berterusan di luar kitaran haid dan bukannya ketika datang bulan sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program Her Mind. Her Health. Her Future. An Awareness Session For Every Woman anjuran Suri Inspirasi dengan kerjasama OMSMC.

Mengulas sikap segelintir wanita yang berasa malu untuk mendapatkan pemeriksaan berkaitan masalah sakit puan, beliau berkata terdapat beberapa gejala amaran yang tidak sepatutnya disembunyikan atau dibiarkan tanpa pemeriksaan doktor.

Antara gejala yang perlu diberi perhatian termasuk keputihan berpanjangan, pendarahan di luar kitaran haid, kesakitan ketika atau selepas hubungan intim, masalah kawalan pundi kencing serta kemunculan benjolan di kawasan kemaluan.

Beliau turut mengingatkan wanita supaya tidak mengabaikan pendarahan haid yang terlalu banyak sehingga memerlukan penggunaan lampin dewasa, selain kesakitan pelvis yang berpanjangan kerana sesetengah masalah kesihatan reproduktif boleh menjejaskan kesuburan.

“Perkara seperti sakit ketika berhubungan intim atau masalah terkencing selepas bersalin adalah sesuatu yang tabu dan sangat jarang dibincangkan secara terbuka oleh pesakit wanita kerana mereka berasa segan.

“Bila ada benjolan, mereka anggap ia jerawat biasa dan mengharapkannya hilang sendiri, sedangkan ia mungkin jangkitan kuman atau sumbatan pada kelenjar Bartholin yang perlu dirawat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan wanita supaya tidak menganggap kesakitan atau perubahan luar biasa pada tubuh sebagai perkara biasa, sebaliknya mendapatkan pemeriksaan perubatan bagi mengenal pasti punca dan menerima rawatan bersesuaian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

223
Kongsi :
Previous post AB RAUF ANGKAT SUMPAH KETUA MENTERI MELAKA