AB RAUF TERBUKA KERJASAMA POLITIK BAWA MANFAAT, BUKAN MUDARAT

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SERI NEGERI 15 November – Kerajaan Negeri Melaka terbuka mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk di luar gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sekiranya ia membawa manfaat lebih besar kepada negeri berbanding kemudaratan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu mencerminkan kesediaan kerajaan negeri menerima kerjasama yang boleh memberikan kebaikan kepada rakyat dan pembangunan Melaka.

“Oh, kita asalkan mempunyai satu manfaat yang lebih daripada mudarat, kita boleh pertimbang dan kita boleh terima, tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas kejayaan BN-PN memperoleh majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Ab Rauf berkata kerjasama muafakat antara kedua-dua gabungan itu turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan berkenaan.

Menurutnya, kesepakatan tersebut berjaya menghimpunkan sokongan bukan sahaja daripada ahli parti yang bergabung, malah turut membuka ruang kepada golongan yang tidak berparti untuk bersama-sama menyokong muafakat berkenaan.

“Ia juga salah satu daripada faktor menyumbang kemenangan besar, kerana muafakat ini menunjukkan satu kesepakatan yang memberikan ruang kepada orang yang tidak berparti, sama ada PAS ataupun UMNO ataupun mana-mana parti politik yang bergabung, untuk bersama-sama menyokong satu muafakat ini dijadikan satu kekuatan.

“Ini menunjukkan bahawa kalau kita bersepakat, kita berpadu, kita bersatu, hasilnya apa yang kita dapat hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KEMENANGAN BN BUKTI RAKYAT NILAI PRESTASI, BUKAN PROPAGANDA – AB RAUF