RIDZUAN TAK SANGKA MENANG BESAR DI BUKIT KATIL, BUKTI PENYATUAN BN-PN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 15 November – Tidak menyangka mampu memperoleh majoriti sebesar itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif menganggap kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 sebagai hasil kerja keras seluruh jentera Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, meskipun menyedari wujud gelombang sokongan yang baik sepanjang kempen, pihaknya tidak pernah menganggap kedudukan mereka berada dalam zon selesa, sebaliknya terus bekerja bersungguh-sungguh sehingga hari pengundian.

“Betul, memang saya tidak jangka jumlah majoriti yang sebesar itu. Cuma dari awal, saya tidak boleh mengatakan bahawa kita sudah berada dalam zon selesa.

“Walaupun kita faham ada berlaku satu gelombang yang sangat baik, iaitu Gelombang Biru di bawah penyatuan UMNO ini, kita tetap tidak boleh berasa selesa dan memang kami cuba sehabis baik, all out dalam tempoh berkempen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Muhammad Ridzuan berkata, kemenangan itu turut didorong bantuan menyeluruh jentera parti serta pimpinan di peringkat pusat, negeri dan DUN yang berganding bahu sepanjang tempoh berkempen.

Mengulas peranan kerjasama BN-PN dalam mencetuskan gelombang sokongan berkenaan, beliau berkata kesepakatan kedua-dua gabungan itu banyak membantu menyelaraskan gerak kerja serta mengukuhkan hubungan antara anggota parti.

Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja membolehkan gerak kerja dilaksanakan secara bersama, malah mewujudkan hubungan lebih akrab antara pimpinan dan jentera yang sebelum ini mungkin sukar untuk bertemu serta bersemuka.

“Sangat-sangat membantu dan kita boleh lihat bagaimana pencapaian keseluruhan. Segala gerak kerja dibuat secara bersama-sama.

“Sebelum ini mungkin agak sukar untuk kita berbincang dan bersemuka, tetapi apabila ada penyatuan ini, terjalin ukhuwah yang sangat baik.

“Sebelum ini orang kata nak jumpa pun susah, nak menyapa pun susah. Tapi sekarang ini bila tak jumpa, rindu pula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

223
Kongsi :
Previous post AB RAUF TERBUKA KERJASAMA POLITIK BAWA MANFAAT, BUKAN MUDARAT
Next post FAHAMI MASALAH LOKALITI, RAIS TUMPU KEPERLUAN PENDUDUK SUNGAI UDANG