TIDAK TUNGGU LAMA, AZRIL TERUS BEKERJA SELEPAS MENANG DI REMBIA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 15 November – Tidak menunggu lama untuk memulakan khidmat selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz terus memulakan tugas dengan menyantuni rakyat menerusi kunjungan ke Pasar Minggu Alor Gajah.

Kunjungan itu juga meneruskan rutin mingguannya sebelum ini apabila beliau meluangkan masa membeli barangan keperluan harian bersama isteri sambil beramah mesra dengan penduduk setempat.

Ahmad Norazril berkata, aktiviti berkenaan sememangnya menjadi kebiasaannya dan beliau berhasrat untuk terus mengekalkan hubungan rapat dengan masyarakat meskipun kini memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Setelah saya memikul tanggungjawab sebagai Adun Rembia, saya akan terus fokus dan berbakti untuk warga Rembia,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Pada PRN Melaka Ke-16, Ahmad Norazril yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Rembia dengan memperoleh 10,915 undi dan majoriti 5,993 undi.

Beliau menewaskan dua pencabar iaitu Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan daripada Pakatan Harapan (PH-PKR) yang memperoleh 4,922 undi, manakala Mohamed Aman Akil Abdul Talib daripada Parti BERSAMA mendapat 758 undi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk membawa suara serta memperjuangkan kepentingan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Terima kasih buat keluarga besar Rembia yang telah memilih saya. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk semua keluarga Rembia,” katanya.

Mengulas tanggungjawab baharu yang dipikulnya, Ahmad Norazril berkata, beliau akan memberikan sepenuh komitmen untuk berkhidmat kepada seluruh penduduk Rembia tanpa mengira latar belakang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post TOK JEZ SUDAH RANGKA PELAN PEMBANGUNAN SUNGAI RAMBAI LIMA TAHUN
Next post MANDAT BAHARU, AMANAH TERUS BANGUNKAN DUYONG