Sorting by

×

MELAKA NEGERI SELAMAT, TINGKAT KEYAKINAN PELANCONG ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KOTA LAKSAMANA 12 September – Melaka berjaya mengangkat imejnya sebagai sebuah negeri selamat menerusi penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu dibuktikan menerusi indeks jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri, di mana Melaka mencatat kadar rendah membabitkan kes ragut dan jenayah jalanan, menjadikan ia selamat untuk dilawati.

Jelas beliau, ia sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong untuk menjadikan negeri bersejarah ini sebagai destinasi pilihan.

“Daripada data indeks jenayah di Melaka, PDRM mengeluarkan statistik menunjukkan bahawa negeri ini tidak ada banyak berlaku kes ragut, ‘pickpocket’ ataupun pelbagai bentuk jenayah yang boleh menyebabkan pelancong takut untuk datang.

“Melaka sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat, pelabur serta pelancong.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebuah negeri yang selamat, makmur dan berdaya saing di peringkat serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Persembahan Kebudayaan Sempena AMMTC Ke-19 di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengambil kesempatan menjemput pelancong-pelancong dari rantau Asia Tenggara untuk kembali ke Melaka dan menjadikan negeri bersejarah ini sebagai destinasi percutian pilihan.

“Kita melihat perkembangan dan kemajuan yang berlaku di negeri ini memberikan nilai tambah kepada kehadiran pelancong yang bakal datang, terutama dari negara-negara ASEAN yang sempat saya mengajak mereka untuk kembali melancong ke sini bersama keluarga mereka pula.

“Melaka negeri selamat, mesra pelancong dan keyakinan itu akan menjadi pemangkin dalam usaha Melaka menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

“Ia sekali gus menyokong usaha negeri ini melonjakkan sektor pelancongan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

302
Kongsi :
Previous post MELAKA DAPAT PUJIAN DELEGASI ASEAN
Next post ALUNAN SELAWAT ‘SUBURKAN’ BUMI MELAKA MALAM INI