Sorting by

×

MELAKA DAPAT PUJIAN DELEGASI ASEAN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KOTA LAKSAMANA 12 September – Delegasi ASEAN yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 memuji pendekatan Malaysia yang bijak menyulam persidangan serius dengan acara santai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, strategi itu memberi peluang kepada perwakilan bukan sahaja menumpukan perhatian terhadap perbincangan keselamatan serantau, bahkan pada masa sama mencipta pengalaman berharga apabila berkesempatan menikmati keindahan Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan dinamik.

“Dalam persidangan acara berat, kita sudah penat perah otak membincangkan cara tangani jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks, tapi selepas itu kita sulami dengan acara santai di luar.

“Strategi ini berhasil dan bertepatan apabila Melaka dipilih menjadi lokasi membincangkan isu jenayah rentas sempadan pada AMMTC Ke-19, di mana tarikan pelancongan yang ada di negeri bersejarah ini juga dapat mencipta pengalaman bermakna untuk semua,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Persembahan Kebudayaan Sempena AMMTC Ke-19 di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Tambah Saifuddin, pendekatan tersebut bukan sahaja memberi keseimbangan kepada persidangan, tetapi secara tidak langsung turut mempromosikan Melaka.

Jelasnya, Melaka telah membuktikan statusnya sebagai destinasi pelancongan yang unik, bersejarah dan selamat, selain sesuai diangkat menjadi lokasi bagi penganjuran acara bertaraf dunia.

“Apabila delegasi memuji Melaka, ia secara tidak langsung turut memberi tempias kepada Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

441
Kongsi :
Previous post AMMTC KE-19 BUKTI MELAKA TUAN RUMAH BERTARAF DUNIA – KM
Next post MELAKA NEGERI SELAMAT, TINGKAT KEYAKINAN PELANCONG ASEAN