Sorting by

×

NUR JANNAH DINOBAT JOHAN KATEGORI AWAM PIDATO

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 13 September – Bersekang mata hingga jam 3 pagi semata-mata mahu menyiapkan skrip pidato dianggap berbaloi bagi Nur Jannah Husna Sukardi, 19, apabila dia muncul Johan Kategori Awam Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Melaka 2025.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, perjuangan meraih gelaran tersebut penuh cabaran kerana terpaksa membahagikan masa antara pelajaran dan persiapan pertandingan yang dinantikannya sejak tiga tahun lalu.

“Persiapan saya memang sangat mencabar. Malam sebelum peperiksaan akhir di Universiti Teknikogi MARA (UiTM) Dengkil, saya berjaga hingga jam 3 pagi untuk siapkan skrip pidato. Esoknya jam 9 pagi terus masuk dewan peperiksaan.

“Memang penat, tapi saya tidak sanggup lepaskan peluang ini kerana sudah lama saya nantikan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas majlis penyampaian hadiah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, 11 September lalu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat, Pontian, Johor itu memulakan persiapan sejak Mei hingga Julai 2025 lalu dengan menghafal skrip dalam tempoh dua minggu, sebelum memperkemaskan gaya penyampaian.

“Saya berpidato sejak umur 16 tahun, masa sekolah rendah saya aktif dalam banyak pertandingan lain, jadi bakat ini betul-betul berkembang semasa sekolah menengah,” katanya.

Menurutnya, keyakinannya banyak dipupuk oleh ibu bapanya, Sukardi Kunchin, 54, dan Aznah Salim, 55, yang sentiasa memberi dorongan sejak awal lagi.

“Ibu dan ayah selalu kata, ‘Kak Long boleh buat’, kata-kata itu yang saya pegang hingga ke hari ini.

“Pernah juga ibu bergurau, kalau tidak menang, tidak perlu masuk pertandingan, namun itu bukan mematahkan semangat, sebaliknya jadi pembakar semangat saya,” katanya sambil tersenyum.

Bapanya dahulunya seorang juru ukur kini mengusahakan bidang pertanian selepas bersara, manakala ibunya merupakan seorang guru dan adiknya Ahmad Tajul Hakim Sukardi, 16, masih bersekolah.

Kejayaan Nur Hannah Husna itu melayakkannya membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil, tiket tajaan ke taman tema di Melaka serta cenderahati eksklusif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2530
Kongsi :
Previous post LAMPU SOLAR TERANGI LALUAN KAMPUNG BUKIT KATONG-BUKIT LANGSAT
Next post 10,000 MERIAHKAN KONSERT PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2025