Sorting by

×

LEBIH 30 PROGRAM SEMARAKKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PENGKALAN BATU 13 September – Lebih 30 program mewarnai Sambutan Maulidur Rasul 1447H di negeri ini dan penutupnya dengan Majlis Melaka Berselawat dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul di Dataran Pusat Islam di sini malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata kesemua program berlangsung sepanjang bulan Rabiulawal termasuk Karnival Maulidur Rasul yang berlangsung selama empat hari sekitar Pusat Islam.

Katanya, kehadiran pengunjung dan pelbagai pengisian kerohanian dilaksanakan pada sambutan kali ini selaras dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’.

“Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menjadi penggerak utama dalam menganjurkan lebih 30 program sepanjang bulan Rabiulawal.

“Alhamdulillah, lebih 30,000 pengunjung hadir memeriahkan program, khususnya Karnival Semarak Cinta Rasul yang menjadi tumpuan utama.

“Antara pengisian istimewa termasuk program Melaka Bermunajat serta Himpunan Komuniti Astronomi dengan lebih 200 umat Islam mendirikan solat sunat gerhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Melaka Berselawat dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1447H di Dataran Pusat Islam di sini.

Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menyerikan lagi sambutan tersebut.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Hadir sama, Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat.

Mengulas lanjut, Ab Rauf menegaskan, kelahiran junjungan besar Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal bukan sekadar lembaran sejarah, tetapi panduan abadi dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat.

“Kerajaan Negeri sentiasa beriltizam menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai agenda teras, demi membimbing masyarakat dengan akhlak mulia, memperkuatkan ukhuwah dan memupuk kecintaan kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Dalam kesempatan itu, Ab Rauf turut mengajak umat Islam menzahirkan doa buat keselamatan rakyat Palestin serta kelancaran misi bantuan Malaysia di Gaza.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post TANJUNG BIDARA BERGEMA DENGAN SELAWAT DAN QASIDAH CINTA RASUL
Next post SOFIA MAHU BANGGAKAN MELAKA