Sorting by

×

ANUGERAH KHAS MAULIDUR RASUL IKTIRAF PERANAN ORGANISASI ISLAM

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 13 September – Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan organisasi serta institusi agama yang memainkan peranan penting memperkukuh syiar Islam menerusi penganugerahan khas sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M di Dataran Pusat Islam, malam tadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengiktirafan itu merangkumi enam kategori utama, iaitu Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Kariah Terbaik; Pengurusan dan Pentadbiran Surau Kariah atau Taman Terbaik; Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Perkuburan Islam Terbaik; Pengurusan dan Pentadbiran Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) Terbaik; Koperasi Masjid atau Surau Terbaik serta Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia Negeri Melaka (IKS).

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyampaikan Anugerah Kontinjen Ceria MADANI sebagai pengiktirafan kepada peserta Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul yang berlangsung baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri berbesar hati menghargai usaha semua pihak yang terus berbakti dalam memperkukuh syiar Islam dan memberi manfaat kepada kesejahteraan ummah.

“Diharapkan anugerah ini mampu menjadi penyuntik semangat untuk mereka terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Melaka Berselawat dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1447H di Dataran Pusat Islam di sini.

Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menyerikan lagi sambutan tersebut.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman, barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Hadir sama, Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Untuk rekod, penerima bagi setiap kategori telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan dan bagi kategori Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Kariah Terbaik penerimanya adalah Masjid Al-Muhaimin, Bemban Jasin.

Kategori Pengurusan dan Pentadbiran Surau Kariah atau Taman Terbaik penerimanya adalah Madrasah An-Nur, Taman Muhibbah, Merlimau.

Kategori Pengurusan dan Pemuliharaan Tanah Perkuburan Islam Terbaik dirangkul oleh Pusara Abadi Masjid Al-Rahmah, Bukit Rambai.

Kategori Pengurusan dan Pentadbiran Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) Terbaik diraih Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah.

Kategori Koperasi Masjid atau Surau Terbaik diraih Koperasi Masjid Al-Alami MITC, Ayer Keroh dan Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia Negeri Melaka (IKS) diraih Pak Man Industries Sdn Bhd.

Manakala bagi kategori Anugerah Kontinjen Ceria MADANI dirangkul oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Rumah Anak Yatim Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAS), Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

517
Kongsi :
Previous post SOFIA MAHU BANGGAKAN MELAKA
Next post MELAKA BERSELAWAT MERIAHKAN PENUTUP SAMBUTAN MAULIDUR RASUL