Sorting by

×

MELAKA BERSELAWAT MERIAHKAN PENUTUP SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PENGKALAN BATU 13 September – Majlis Melaka Berselawat dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1447H menjadi acara penutup bagi sambutan Maulidur Rasul di Dataran Pusat Islam, di sini, semalam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya melaksanakan pemilihan bagi Anugerah Khas Maulidur Rasul mengikut beberapa kriteria yang ditetapkan.

Katanya, antara kriteria utama yang diambil kira termasuk rekod pembayaran zakat bagi usahawan industri halal, selain penglibatan masjid dan surau dalam program pengimarahan yang memberi manfaat kepada kariah.

“Setiap pencalonan perlu disertakan bukti aktiviti dan dokumentasi sebagai penanda aras. Ia sekali gus memastikan hanya yang benar-benar aktif dan memberi impak dipilih menerima anugerah khas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Melaka Berselawat dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1447H di Dataran Pusat Islam, di sini.

Kehadiran Kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf menyerikan lagi sambutan tersebut.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Hadir sama, Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al Qadri; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Dalam pada itu, Rahmad turut memaklumkan keistimewaan sambutan pada tahun ini turut diserikan dengan jamuan makan dalam talam atau dulang sebagai amalan mengikut sunnah Rasulullah SAW.

“Lebih istimewa pada tahun ini kita adakan jamuan makan dalam dulang yang dikongsi empat orang sedulang.

“Berbeza dengan tahun sebelum ini, penganjuran kali ini dipadatkan dengan karnival empat hari yang menawarkan lebih 30 pengisian program sebelum ditutup dengan acara kemuncak berselawat bersama lebih 10,000 umat Islam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

550
Kongsi :
Previous post ANUGERAH KHAS MAULIDUR RASUL IKTIRAF PERANAN ORGANISASI ISLAM
Next post ANUGERAH KHAS MAULIDUR RASUL, DORONG KOP ALAMI MELANGKAH JAUH