Sorting by

×

ANUGERAH KHAS MAULIDUR RASUL, DORONG KOP ALAMI MELANGKAH JAUH

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PENGKALAN BATU 13 September – Koperasi Kariah Masjid Al-Alami MITC Melaka Berhad atau dikenali sebagai Kop Alami menjadi penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul Kategori Koperasi Masjid atau Surau Terbaik.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kop Alami, Datuk Mohd Arif Yusa berkata penubuhan Kop Alami sejak 2013 memberi peluang kepada ahli serta komuniti untuk membangunkan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah khusus, tetapi juga sebagai pusat aktiviti ekonomi ummah.

Menurutnya, kejayaan yang diraih itu menjadi suntikan semangat kepada pihaknya untuk terus menambah baik dan mengembangkan perniagaan koperasi demi memartabatkan masjid sebagai pusat ekonomi ummah.

“Anugerah ini bukan sahaja motivasi buat ahli koperasi kami, malah diharap dapat memberi inspirasi kepada koperasi masjid lain untuk sama-sama menggerakkan ekonomi secara berkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Melaka Berselawat dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul di Dataran Pusat Islam di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai Kop Alami, Mohd Arif berkata koperasi tersebut kini mempunyai 103 ahli dan terlibat dalam pelbagai aktiviti koperasi terbabit.

“Kop Alami kini sedang giat menguruskan Kedai Barakah Hab di Taman Tasik Utama, pembangunan 12 kios di pekarangan Masjid Al-Alami yang mana empat kios telah siap, dan baki lapan lagi akan dibangunkan secara berperingkat.

“Selain itu, Kop Alami turut diberi kepercayaan menguruskan majlis iftar, sahur dan moreh sejak lebih lima tahun lalu, selain menganjurkan Pasar Ramadan sejak 2017 yang kini berkembang sehingga 150 tapak serta diiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai penganjur terbaik,” katanya.

Kop Alami antara enam penerima bagi Anugerah Khas yang disampaikan pada Majlis Melaka Berselawat dan Anugerah Khas Maulidur Rasul 1447H di Dataran Pusat Islam di sini.

Anugerah Khas Kategori Koperasi Masjid tersebut merupakan pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri sebagai kepada usaha koperasi masjid memperkasakan institusi masjid melalui pelbagai medium termasuk bidang perniagaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post MELAKA BERSELAWAT MERIAHKAN PENUTUP SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
Next post PEMBANGUNAN DI KAWASAN TAMBAK BAHARU TIDAK DIBENARKAN – KM