
PEMBANGUNAN DI KAWASAN TAMBAK BAHARU TIDAK DIBENARKAN – KM
TANJUNG BIDARA 13 September – Sebarang pembangunan sama ada bersifat kekal atau sementara di kawasan tambakan baharu di sepanjang kawasan Sungai Tuang hingga Tanjung Bidara tidak dibenarkan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ketetapan itu dikuatkuasakan serta-merta memandangkan struktur tambakan bagi mengatasi isu hakisan pantai itu masih belum dapat dipastikan kekuatannya.
Oleh itu, jelas beliau sebarang pembangunan khususnya membabitkan kluster pelancongan tidak dibenarkan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan mewakili Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Melaka mengumumkan kawasan tambakan baharu ini akan menjadi milik Kerajaan Negeri dan apa jua aktiviti pembangunan sama ada bersifat kekal atau sementara adalah tidak dibenarkan.
“Ketetapan ini dikuatkuasakan sehinggalah secara saintifiknya kawasan ini disahkan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek hakisan pantai di Tanjung Bidara dan Sungai Tuang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah PTG Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Melaka, Ir Mohd Adnan Ahmad Fauzi; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, projek mengawal hakisan dengan kos perbelanjaan lebih RM21 juta itu membabitkan kawasan pesisir pantai sepanjang 4 kilometer dari Sungai Tuang hingga Tanjung Bidara.
Ujar beliau, menerusi projek tersebut, tambakan baharu telah dilaksanakan sejauh 50 meter dari lokasi asal dan projek itu dijangka siap pada September tahun depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.