
ASET MEMASUKI TANAH KERAJAAN DIBERI PELUANG MOHON PEMILIKAN SEMENTARA
TANJUNG BIDARA 13 September – Sebanyak 14 aset di kawasan pesisir pantai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara telah didapati melakukan kependudukan di tapak tanah milik Kerajaan Negeri tanpa kebenaran.
Ia membabitkan aset-aset pelancongan di sekitar kawasan Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan Sungai Tuang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan bagi tujuan komersial di tapak tanah rizab adalah tidak dibenarkan dan perkara itu perlu dipandang serius bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan pengunjung dan pelancong.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, Kerajaan Negeri bersedia membuka tawaran kepada pemilik aset-aset yang telah memasuki tanah kerajaan itu untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kelulusan pemilikan sementara.
“Mungkin ada di antara pemilik tidak menyedari aset mereka telah memasuki tanah kerajaan dan mungkin ada yang mewarisinya, jadi Kerajaan Negeri membuka peluang kepada mereka untuk membuat permohonan baharu supaya ia dapat dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek hakisan pantai di Tanjung Bidara dan Sungai Tuang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah PTG Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Melaka, Ir Mohd Adnan Ahmad Fauzi; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Melak, Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik terlibat bagi memastikan isu kependudukan di tanah milik kerajaan tanpa kebenaran dapat diselesaikan sebaiknya.
KETUA Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.