
PAKAI SARUNG, RASA SERUMPUN
BANDA HILIR 14 SEPTEMBER – Sarung bukan lagi pakaian orang lama apabila fesyen itu kembali diperagakan segenap lapisan umur menerusi acara Keretapi Sarong 25 Melaka.
Tanpa mengira kaum yakni Melayu, Cina dan India masing-masing tidak ketinggalan mengenakan pakaian itu sambil berarak dari Dutch Square ke Menara Taming Sari.
Penganjurannya buat kali pertama di Melaka mendapat penyertaan cukup menggalakkan malah disifatkan berjaya menerapkan semangat ‘serumpun’ menerusi ikatan kain sarung diperagakan.
Reaksi itu diberikan peserta muda, Nur Jasmine Hamzah, 22, teruja apabila dia yang sering menyertai acara ikonik berkenaan di ibu kota kini boleh merasai suasana sama di Melaka.
“Saya pernah sertai acara ini di Kuala Lumpur tetapi saya lihat di Melaka juga tidak kurang meriah sebab ramai peserta di sini pakai busana tradisional masing-masing yang unik.
“Kalau tiada acara sebegini, mustahil saya akan mengenakan pakaian sarung seperti hari ini,” katanya.
Bagi M P Yogaraj, 22, Keretapi Sarong adalah acara yang menarik kerana dia dapat memperkenalkan busana tradisional masyarakat India kepada peserta lain.
“Saya pakai baju batik tradisional termasuk elemen sarung yang digabungkan bersama busana masyarakat India.
“Inilah tarikannya kita boleh mempromosikan warisan pelbagai kaum di Melaka selain menarik pelancong,” katanya.
Nada sama disuarakan, Izyan Md Fairuz, 27, menyifatkan acara itu berjaya menerapkan semangat serumpun dalam kalangan masyarakat khususnya menjelang Hari Malaysia tidak lama lagi.

Bagi Izyan, penganjuran di Melaka dilihat setanding negeri lain bahkan menampilkan kelainan apabila peserta dapat melawati tempat-tempat bersejarah.
“Saya bangun seawal jam 6 pagi dan mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk bersiap sebab ini julung kali diadakan di Melaka.
“Menariknya sebab Melaka ini negeri bersejarah dan terdapat banyak pengisian kebudayaan, lagu-lagu yang dimainkan juga menarik,” katanya.
Terdahulu, seramai hampir 2,000 peserta Keretapi Sarong 25 Melaka berarak dari Dutch Square melalui Jalan Kota dan Jalan Taman ke Menara Taming Sari sebelum dihiburkan dengan beberapa persembahan kebudayaan di Pentas Utama.
Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Nasrul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.