
TERPESONA KEINDAHAN TANJUNG BIDARA
Tanjung Bidara 14 September – Pemandangan suasana kampung tradisional disajikan sepanjang kayuhan sejauh 25 kilometer (km) antara yang menarik perhatian peserta Fun Ride @ Pesta Tanjung Bidara, bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025, di sini, hari ini.
Peserta kayuhan Jefary Othman, 49, berkata, suasana sekitar Tanjung Bidara memberikan ketenangan dan secara tidak langsung menggamit memori beliau sebagai seorang yang membesar dalam suasana desa.
Jefary kini menetap di Senawang, Negeri Sembilan berkata, keinginan menyaksikan pemandangan pantai yang mendamaikan juga mendorong dia bersama isteri Shuhaida Abdul Malek, 47, untuk menyertai kayuhan itu meskipun terpaksa keluar awal pagi.
“Tinggal di taman perumahan berhampiran bandar, jadi sesekali apabila ada peluang berkayuh dalam suasana kampung kami tidak melepaskan peluang yang terbuka. Memang benar pemandangan indah sekitar Tanjung Bidara amat mempesonakan.
“Penganjuran pesta seperti ini amat bermanfaat kerana turut mempromosikan warisan budaya lama, paling menarik perhatian saya adalah permainan tradisional konda kondi. Sebagai seorang yang membesar di kampung sudah lama saya tidak melihat anak-anak bermain konda kondi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu Shuhaida berkata, selain suasana kampung yang masih terpelihara keasliannya, penduduk Tanjung Bidara juga dianggap sebagai peramah dan sangat membantu peserta mengambil bahagian dalam kayuhan.
Malah dia turut memuji penganjur acara kayuhan itu yang dianggap sebagai profesional terutamanya mementingkan aspek keselamatan peserta kerana kayuhan turut melibatkan laluan jalan raya.
“Mengikut jadual pelepasan pada jam 7,30 pagi dan apabila tiba masanya kami memulakan kayuhan. Memang berbaloi datang ke Tanjung Bidara, macam-macam acara menarik yang ada.
“Mengikut perancangan kami mahu terus pulang ke Senawang selepas tamat kayuhan, tetapi mungkin akan singgah ke lokasi menarik di sekitar, rugi tidak manfaatkan peluang lebih lagi ketika musim cuti panjang ketika ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.