Sorting by

×

BERMALAM DI MUZIUM HANG TUAH, UBAH PERSEPSI SERAM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

DUYONG 15 September – Program Bermalam di Muzium 2025 melabuhkan tirainya semalam setelah dua hari berlangsung dengan penglibatan 31 cawangan muzium di seluruh negara.

Majlis Penutup Program Bermalam di Muzium 2025 yang bermula seawal 11.30 pagi itu telah bersiaran secara langsung dari Muzium Budaya Borneo dan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Penolong Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Nur Azeera Jamaluddin berkata, seramai 50 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek dan SMK Durian Tunggal bermalam di Muzium Hang Tuah, di sini.

Menurutnya, program yang bertemakan ‘Kurator Muda’ itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk bermalam di muzium, malah turut mendedahkan pelbagai aktiviti sejarah, kenegaraan serta kerjaya berkaitan muzium.

“Program ini turut melibatkan Akademi Kenegaraan Malaysia melalui slot ceramah yang memberi nilai tambah kepada pengisian program.

“Malah, terdapat juga aktiviti secara berkumpulan seperti mencipta kandungan di TikTok berkaitan muzium dan menghasilkan miniatur daripada tanah liat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas majlis penutup program berkenaan.

Mengulas lanjut, Nur Azeera berkata, pengalaman itu juga sekali gus membantu mengubah persepsi pelajar bahawa muzium bukanlah tempat yang menyeramkan, sebaliknya ruang pembelajaran yang menyeronokkan dan bermanfaat.

Pelajar turut menerima hadiah, sehelai baju khas program serta sijil penyertaan sebagai penghargaan atas penglibatan mereka sepanjang aktiviti berlangsung.

Program Bermalam di Muzium merupakan antara inisiatif utama di bawah Program Citra Nusa@Muzium yang disokong penuh oleh Kementerian Perpaduan Negara.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post RAKYAT MELAKA JADI DUTA KECIL, SAMBUT TETAMU ‘DUNIA’
Next post EDISI PERTAMA DAH GEMPAK, KERETAPI SARONG JADI ACARA TAHUNAN MELAKA