
PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA 2025 PENUH WARNA WARNI
TANJUNG BIDARA 14 September – Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 yang berlangsung selama tiga melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatat kehadiran lebih 25,000 orang pengunjung.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata pesta edisi kedua itu turut menampilkan lebih 40 program seperti persembahan kebudayaan, pertandingan Raja dan Ratu Dondang Sayang serta aktiviti rekreasi bersama agensi keselamatan dan lain-lain lagi.
Katanya, pesta pantai itu akan dijadikan acara tahunan berskala lebih besar bagi memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Pada tahun hadapan, Pesta Pantai Tanjung Bidara akan lebih istimewa selepas penambahbaikan berperingkat siap sepenuhnya.
“Pelaksanaan pesta pantai ini juga diadakan bagi memperkukuh usaha memartabatkan seni budaya Melayu melalui penyertaan generasi muda dalam tarian tradisional.
“Penglibatan anak-anak sekolah rendah sehingga dewasa dalam setiap pertandingan budaya yang dianjurkan pada pesta ini juga dapat melahirkan pelapis-pelapis serta mencungkil bakat baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.
Pada majlis sama, Ab Rauf turut merasmikan tarikan baharu iaitu litar kawalan jauh (RC) di Pantai Tanjung Bidara.
Menurutnya, pembinaan litar RC itu bernilai RM500,000 dan ia merupakan antara litar RC terbesar di Malaysia.
“Litar RC ini merupakan kemudahan yang diyakini mampu menjadi daya tarikan utama bagi peminat yang meminati sukan terbabit.
“Ia turut menjadi satu nilai tambah dalam menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke Pantai Tanjung Bidara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.