Sorting by

×

EDISI PERTAMA DAH GEMPAK, KERETAPI SARONG JADI ACARA TAHUNAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 15 September – Program Keretapi Sarong yang menjadi antara acara tahunan peringkat kebangsaan sempena Hari Malaysia bakal diangkat sebagai acara tahunan di Melaka.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad berkata, ia selepas program yang julung kali diadakan di Melaka itu mendapat penyertaan cukup menggalakkan.

Katanya, beliau berbangga melihat pelbagai kaum yakni Melayu, Cina, India termasuk masyarakat Portugis dan Chetti masing-masing memperagakan keindahan kain sarung pada program tersebut.

Jelas Nasrul, program anjuran LOCCO bersama Pertubuhan Karya Seni (PERKASE) itu mencapai objektif diharapkan dalam menerapkan semangat perpaduan selain penghayatan simbol ‘Serumpun’ kepada rakyat Melaka.

“Atas sambutan yang sangat baik hampir 2,000 peserta hadir, saya rasa ini akan menjadi salah satu program tahunan di Melaka dan BPP bersama agensi lain bersedia untuk berbincang untuk melaksanakan program ini pada masa hadapan dalam skala yang lebih besar.

“Melaka juga akan merangka lebih banyak aktiviti yang bermotifkan perpaduan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas program Keretapi Sarong 25′ Melaka di stesen terakhir dekat Menara Taming Sari, pada Sabtu.

Tambah Nasrul, program itu antara lain disifatkan sebagai acara ‘pemanas’ bagi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Hari Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) yang bakal menghimpunkan 159 delegasi dari seluruh dunia ke Melaka pada 27 hingga 29 September ini.

Jelasnya, program dengan intipati berbentuk kebudayaan dan warisan itu adalah platform terbaik mempromosikan Melaka sebagai negeri bersejarah.

“BPP ambil kesempatan pada hari ini untuk turut mempromosikan WTD dan WTC agar ramai orang Melaka khususnya anak muda tahu tentang acara besar ini.

“Ini adalah acara ‘warming up’ sebelum kita berhadapan dengan WTD dan WTC yang tak sampai dua minggu sahaja lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1096
Kongsi :
Previous post BERMALAM DI MUZIUM HANG TUAH, UBAH PERSEPSI SERAM
Next post 23 PEGAWAI PENGIRING BERSIAP SIAGA SAMBUT VIP WTD & WTC 2025