
23 PEGAWAI PENGIRING BERSIAP SIAGA SAMBUT VIP WTD & WTC 2025
AYER KEROH 15 September – Seramai 23 pegawai pengiring di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) Melaka akan ditugaskan sepanjang Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September ini.
Menurut Jawatankuasa Sambutan dan Protokol (Pegawai Pengiring) WTD & WTC 2025, kesemua pegawai terbabit akan mula bertugas bermula 26 September (Jumaat) bagi menyambut ketibaan kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehinggalah selesai acara.
“Mereka bertugas bermula 26 September kerana ketika itu waktu ketibaan kenamaan, manakala pelepasan mereka (kenamaan) dijadualkan pada 30 September.
“Jadi, pegawai pengiring perlu berada dalam keadaan bersedia sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Beliau berkata, sesi taklimat dan lawatan tapak telah diadakan di KLIA bagi mempersiapkan pegawai pengiring dengan prosedur sambutan tetamu.
“Pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Malaysia Airlines memberi penerangan berkaitan lokasi seperti bilik VIP, kaunter imigresen khas dan laluan pergerakan tetamu kenamaan.
“Semua ini penting supaya pegawai pengiring dapat menjalankan tugas dengan lancar,” katanya.
Tambahnya, sepanjang WTD dan WTC 2025 berlangsung di Melaka, pegawai pengiring akan memastikan pergerakan VIP sentiasa mengikut protokol, termasuk aspek keselamatan dan penyelarasan maklumat terkini.
“Segala maklumat dan jadual akan disalurkan melalui pasukan protokol yang akan menjadi penyelaras utama bagi memastikan kelancaran setiap acara,” katanya.
Sambutan WTD dan WTC 2025 akan menghimpunkan pelbagai pemimpin dan pakar industri pelancongan dari dalam dan luar negara bagi membincangkan hala tuju pembangunan sektor pelancongan global.
Semalam (11 September) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri Melaka telah mengadakan taklimat bagi persediaan para pegawai pengiring sempena WTD dan WTC 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.