
PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA: MENGGILAP WARISAN YANG PUDAR
TANJUNG BIDARA 15 September – Berlangsung selama tiga hari, Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 sebenarnya sarat dengan mesej tersirat iaitu memperkasa dan mengangkat semula seni, warisan serta budaya orang Melaka bagi diwariskan kepada generasi akan datang.
Pendapat itu dikongsi guru sejarah Shuhaida Abdul Malek, 47, hasil pemerhatian beliau sepanjang berkayuh sejauh 25 kilometer ketika menyertai aktiviti Fun Ride @Pesta Pantai Tanjung Bidara.
Dia menganggap penganjuran itu bukan sekadar untuk menggamit pengunjung ke Melaka yang terkenal sebagai destinasi pelancongan popular sebaliknya memperkenalkan cara hidup di kampung menerusi pelbagai sukan tradisional.
“Meskipun tidak lama, saya sempat meninjau aktiviti dianjurkan di tapak pesta ini, memang menarik dan teruja melihat pertandingan tarik tali, dam aji, konda kondi selain congkak yang sekarang semakin dipinggirkan generasi muda.
“Pesta ini bukan untuk seronok semata-mata, tetapi ada hasrat atau ilmu yang mahu disampaikan kepada orang muda iaitu mencintai budaya, Melaka juga masih kaya dengan pelbagai warisan.
“Berdasarkan pemerhatian ini medium berkesan bagi menarik orang muda bersama-sama menyertai sukan tradisional, memang sudah kena keadah dan lokasinya” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Bidara, di sini, semalam.
Katanya, berada di Melaka boleh diumpamakan seperti ‘back to nature’ kerana vibe atau suasana kampungnya masih tebal dan belum terhakis.
“Pantai ini sangat menarik, aspek kebersihan juga boleh dipuji sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.