Sorting by

×

TUAH ANAK ‘HADIAHKAN’ KELUARGA MOTOSIKAL BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Rezeki tidak disangka buat suami isteri dari Pantai Puteri apabila nama anak mereka berusia setahun lapan bulan diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah utama, sekali gus membawa pulang sebuah motosikal pada Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025.

Nor Azlan Ali, 39 berkata hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal baharu itu dianggap sebagai satu tuah berganda buat keluarganya.

Katanya, lebih manis, kemenangan itu diumumkan atas nama anak sulungnya Amira Riani Nor Azlan, sekali gus menjadi detik penuh bermakna buat seisi keluarga.

“Saya tidak menyangka nama anak akan dipanggil ketika cabutan bertuah diumumkan, isteri, Raihana Izyan Azman, 38, pula sebenarnya sudah mengajak untuk pulang. Kami sekeluarga datang hanya mahu bawa anak-anak bersiar-siar dan mencuba aktiviti pantai.

“Memang langsung tidak sangka nama anak kami diumumkan sebagai pemenang dan membawa rezeki motosikal baharu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Tambah Nor Azlan, kemenangan itu bukan sahaja hadiah berharga buat keluarganya, malah menjadi kenangan manis yang akan diingati sepanjang hayat.

“Ini kali pertama kami sertai pesta pantai dan suasana sangat meriah. Insya-Allah kami akan datang lagi pada tahun depan kerana penganjuran kali ini cukup menghiburkan,” ujarnya.

Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya menarik lebih 25,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan seni warisan, sukan pantai dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa motosikal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

841
Kongsi :
Previous post PESTA PANTAI TANJUNG BIDARA: MENGGILAP WARISAN YANG PUDAR
Next post PPSPM GAMIT PENGUNJUNG PESTA PANTAI DENGAN AKTIVITI AIR