Sorting by

×

PESTA PANTAI LESTARIKAN SENI DONDANG SAYANG

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Usaha melestarikan seni budaya warisan negeri terus diperkasakan menerusi Program Pencungkilan Bakat Raja dan Ratu Dondang Sayang sempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Ezlina Alias berkata, pihaknya bersama Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka itu turut mendapat kerjasama Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) bagi kategori Tarian Dondang Sayang Mambo.

Katanya, penganjuran program seumpama itu diharap menjadi platform penting dalam mencungkil bakat generasi muda, selain memperkukuh peranan seni Dondang Sayang yang diiktiraf UNESCO agar terus kekal relevan merentas zaman.

“Kesemua pemenang pertandingan akan membawa pulang wang tunai, sijil dan plak penghargaan.

“Dalam pertandingan akhir Tarian Dondang Sayang Mambo, Kumpulan Tunas Tari Warisan, Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu muncul juara, diikuti Kumpulan Anom Sari (naib johan) dan Kumpulan Aluntra Tari, SK Bachang (tempat ketiga).

“Bagi kategori nyanyian Raja dan Ratu Dondang Sayang, Muhammad Yusuf Hadi Abd Munim dan Nuha Danisha Mohd Faisal dinobatkan johan kategori bawah 15 tahun, manakala kategori terbuka dimenangi Muhammad Iqbal Amran (lelaki) dan Syaimaa Salleh (wanita),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1406
Kongsi :
Previous post PPSPM GAMIT PENGUNJUNG PESTA PANTAI DENGAN AKTIVITI AIR