Sorting by

×

PERSIAPAN WTD, WTC 2025 HANYA TINGGAL 2 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDA HILIR 16 September – Melaka sudah bersedia menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 dengan persiapan kini hanya tinggal dua peratus.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, baki persiapan itu hanya membabitkan pemasangan pentas dan butiran-butiran kecil sebelum tibanya acara pelancongan terbesar dunia itu pada 27 hingga 29 September ini.

Menurut beliau, selain pengisian program, Kerajaan Negeri juga sudah bersiap sedia dalam aspek kawalan lalu lintas, di mana perkara itu akan diselaraskan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tiga hari itu.

“Kita difahamkan menteri-menteri pelancongan dunia bersama delegasi mereka akan tiba secara berperingkat bermula 24, 25 dan 26 September.

“Jumlah sebenar keseluruhan delegasi masih belum dapat dipastikan kerana ia di bawah Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan ia hanya akan diketahui pada acara sebenar nanti.

“Apapun, di pihak Kerajaan Negeri kita sudah bersedia untuk menerima kehadiran tetamu dan keanggotaan dari seluruh dunia sempena WTD dan WTC 2025 itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada sambutan Ambang Hari Malaysia 2025 Peringkat Negeri Melaka di perkarangan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir Leng Chau Yen; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil.

Turut bersama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Abdul Razak, Melaka amat berbesar hati apabila dipilih menjadi tuan rumah acara pelancongan sedunia itu yang akan membincangkan pelbagai perkara menjurus kepada hala tuju sektor pelancongan dunia.

Bertemakan ‘Tourism And Sustainable Transformation’, beliau berkata WTD dan WTC 2025 akan melakar satu lagi sejarah baharu untuk Negeri Melaka apabila beberapa agenda akan dibentang dan dibincangkan bagi memacu sektor pelancongan yang mampan dan berdaya saing pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post WTD, WTC 2025: MELAKA BAKAL PECAH BEBERAPA REKOD BAHARU
Next post ‘SAYA ANAK MALAYSIA’ CARA PERZIM SEMARAK 16 SEPTEMBER